Labah-labah merupakan haiwan
invertebrat pemangsa yang menghasilkan
sutera, dan mempunyai dua
tagma, lapan kaki, mulut tidak boleh mengunyah dan tiada sayap. Labah-labah dikelaskan dalam
susunan Araneae, satu daripada beberapa susunan dalam
kelas araknid yang lebih besar, kumpulan yang turut mengandungi
kala jengking,
tungau,
sengkenit, dan
falangid. Pengkajian labah-labah dikenali sebagai
araknologi, dan mereka yang mengkaji labah-labah sebagai
ahli araknologi. Kebanyakan labah-labah memburu dengan membina
sarang labah-labah untuk memerangkap
serangga. Sarang ini diperbuat daripada
sutera labah-labah, seutas benang
protein yang halus dan kukuh yang dihasilkan oleh labah-labah daripada
spineret yang pada kebiasaannya terdapat pada hujung
abdomen. Membandingkan dari segi berat, sutera labah-labah adalah lima kali lebih kuat berbanding
besi keluli. Kesemua labah-labah menghasilkan sutera, walaupun tidak kesemua menggunakannya bagi menganyam perangkap yang rapi. Benang sutera digunakan bagi memanjat, membentuk alas dinding licin bagi sarang dalam tanah, membina kantung telur, membalut mangsa, menyimpan sementara
sperma dan banyak lagi kegunaan yang lain.
Kesemua kecuali satu
genus labah-labah mempunyai keupayaan bagi mencucuk
bisa untuk membunuh mangsa dan untuk mempertahankan diri mereka. Hanya subset labah-labah yang terhad yang mampu mengakibatkan
masalah perubatan yang teruk apabila mengigit
manusia. Kebanyakan jenis labah-labah yang lain mampu memberi gigitan yang menyebabkan rasa tidak selesa untuk beberapa ketika tetapi tidak menyebabkan kesan jangka panjang.